PENEMPATAN PASUKAN

Pada permulaan penubuhan, pasukan telah diarahkan agar segala pentadbiran dipusatkan di Kem Bukit Kayu Hitam. Arahan ini tidak dapat dipenuhi atas sebab ketiadaan   peralatan asas bagi mengerakkan pentadbiran, terutama dari segi persuratan dan perhubungan. Di atas persetujuan Jabatanarah Askar Wataniah, Markas Batalion telah ditumpangkan di Bangunan RIMV kepunyaan Rej 504 AW yang bertempat di Alor Setar,Kedah.Setelah menumpang di Rej 504 AW lebih kurang 2 bulan, pasukan telah dibenarkan mencari rumah kediaman untuk dijadikan bangunan Markas Batalion, iaitu di Pekan Jitra. Lima buah bangunan kediaman di sebuah kawasan perumahan di Taman Bahagia, Jitra telah berjaya diperolehi dan dijadikan lokasi untuk Markas Batalion dan Kompeni Markas. Namun demikian, masalah penempatan anggota dan peralatan tetap menjadi masalah kerana keadaan tempat yang terhad. Markas Batalion  dan Kompeni Markas telah berpindah dari tempat awal penubuhannya ke Taman Bahagia Jitra, pada 1 Jun 1981 dan Kem Bukit Kayu Hitam dijadikan Markas Taktikal.               
                
Pasukan seterusnya diarahkan untuk mencari tapak tanah yang sesuai dari kawasan Jitra hingga ke Bukit Kayu Hitam untuk dijadikan tapak kem. Di atas usaha pasukan dengan kerjasama Pejabat Tanah Daerah Kubang Pasu, sebidang tanah yang luasnya lebih kurang 100 ekar telah diperolehi. Walau bagaimanapun, tapak tanah yang dicadangkan tidak dapat diluluskan oleh KEMENTAH kerana tiada peruntukan untuk perancangan pembancian pembinaan sebuah kem tetap.
                
Di atas arahan mengadakan Markas Batalion mulai 31 Mac 1981 dan mencapai taraf operasi mulai pada 31 Ogos 1981, maka pasukan terpaksa menghadapi berbagai kesukaran yang mencabar terutama dari segi peralatan dan tempat tinggal.
                
Anggota kian bertambah, peralatan masih kekurangan  dan tempat tinggal amat terhad hingga kesuatu ketika anggota terpaksa berkongsi tempat tinggal, peralatan dan juga senjata. Akhirnya pada bulan Oktober 1981, tiga buah rumah panjang yang menelan belanja hampir RM 3,000 telah didirikan di Kem Bukit Kayu Hitam bagi menampung keperluan tempat tinggal anggota. Walaupun begitu, bangunan ini tidak dapat memenuhi keperluan yang sedia ada. Kos peruntukan pembinaan bangunan telah di perolehi dari JKKN melalui peruntukan JPG yang telah dinyatakan sebelum ini. Dengan daya usaha dan kesedaran untuk memberikan keselesaan kepada anggota yang sedia berkhidmat di pasukan ini, Pegawai Memerintah yang sentiasa komited dengan penubuhan pasukan telah melancarkan berbagai projek kutipan derma dan sumbangan untuk berkongsi pembinaan dan memperbaiki keadaan tempat tinggal anggota, selain daripada menggunakan segala peruntukan yang telah diberi dan bahan yang boleh diperolehi secara percuma.  Pada awal penubuhan, keadaan tempat tinggal anggota hanyalah sekadar dapat mengelak daripada hujan dan panas sahaja,  dan adalah jauh sama sekali dari mendapat keselesaan yang sewajarnya seperti di bangunan berek pasukan tetap.

 Pada awal tahun 1982, Pasukan 31 Rejimen Askar Melayu Di Raja (RAMD) telah dirancangkan penubuhnya di Kem Bukit Pinang, Kepala Batas, Kedah. Sebuah tapak kem yang lengkap dan taraf pasukan tetap telah disiapkan. Walau bagaimanapun, penubuhan pasukan ini telah digantung atas dasar pertahanan Negara untuk mengecilkan pasukan tetap kepada tahap paras kekuatan yang hanya diperlukan. Kem yang telah siap dibina telah diserahkan kepada 305 Bn Inf AW dan Rej 504 AW yang kebetulan pula rejimen tersebut terpaksa berpindah kerana tapak kem rejimen di Alor Setar diambil semula oleh Kerajaan Negeri Kedah bagi tujuan pembangunan Daerah Kota Setar. Maka Kem Bukit Pinang telah dikongsi bersama oleh 305 Bn Inf AW dan Rej 504 AW.
                
Kesempatan ini telah digunakan oleh pasukan untuk menempatkan Markas Batalion, Kompeni Markas dan Jabatan Kuarter Master (KM) di Kem ini. Kem Bukit Kayu Hitam masih di kekalkan sebagai Bn Tak. Kompeni Repal pula dibuat pusingan penugasan (roulement) ke Kem Bukit Pinang untuk tujuan membuat latihan ulangkaji kompeni.
               
Sehingga pertengahan  tahun 1994, Kem Bukit Pinang terpaksa diserahkan kepada Pasukan 7 RAMD kerana kem pasukan ini telah diambil alih oleh Pasukan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) untuk dijadikan Kolej Tentera Udara. Kemudiannya 305 Bn Inf AW ini telah berpindah kembali ke Kem Bukit Kayu Hitam dan Rej 504 AW pula dipindahkan ke Kem Bukit Keteri, Perlis.